NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 1 – Bab 5

NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 1 – Bab 5

Sinopsis Bab 1
Darah Pahlawan
Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama keluarganya. Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki. Yang sulung bernama Adnan, yang tengah  bernama Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik itu membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu Pak Saidi tidak suka menghebahkan cerita itu kerana sentimen ‘siapa yang menentang Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.

Sinopsis Bab 2
Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi menjadi adiwira sebagai Hang Tuah dan dapat menyelamatkan Kampung Sungai Ramal Dalam bersama-sama empat orang sahabatnya. Dia bermimpi suasana di kampung menjadi kelam-kabut, api menjulang tinggi ke angkasa dan beratus-ratus penyamun sedang menyerang penduduk kampung. Banyak penduduk kampung yang terbunuh manakala rumah pula banyak yang terbakar. Adnan sering bermimpi perkara yang aneh sejak kecil dan sering membayangkan dirinya sebagai Hang Tuah. Selepas tersedar Adnan ke kebun getah membantu ayahnya, setelah solat Zohor gilirannya pula turun ke sawah.

Sinopsis Bab 3
Harapan Seorang Ayah
Ketiga-tiga anak Pak Saidi berlari mendapatkannya selepas mendengar deringan bunyi loceng basikalnya. Pak Saidi berasa gembira kerana kepulangannya disambut oleh anak-anaknya yang sedang berlatih silat di halaman rumah. Adnan melayan ayahnya dengan membawakan minuman. Selepas itu dia kembali berlatih silat bersama-sama adiknya. Mereka gemar bermain perang olok-olok dan biasanya Adnan yang selalu menang kerana sikapnya tidak mahu mengalah. Adnan juga memperlihatkan sikap kepahlawanan dan tanggungjawab walau ketika membantunya mahupun ketika bermain. Permintaan anak-anaknya tidak pernah dikecewakan. Walaupun sudah dibuatkan keris daripada kayu, Adnan meminta ayahnya membuat senapang kayu pula.

Sinopsis Bab 4
Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Adnan menemani ayahnya Pak Saidi ke dusun durian berhampiran Tanah Perkuburan. Pak Saidi yang mewakafkan sebahagian daripada tanahnya menjadi Tanah Perkuburan sebab itulah dusun itu bersebelahan dengan Tanah Perkuburan. Sikap Pak Saidi yang dermawan menyebabkan orang kampung menyenanginya. Apabila tiba musim buah-buahan, dia selalu menyedekahkan buah-buahan kepada penduduk kampung. Pak Saidi menceritakan bahawa asal usul dia dan ibu Adnan dari Minangkabau, Indonesia. Dia juga menceritakan bahawa dia pernah membantu Dol Said Pahlawan Naning menentang British. Hal ini dirahsiakan supaya penduduk kampung tidak memandang serong. Pak Said menceritakan bagaimana Dol Said dilayan oleh British dengan baik sedangkan pengikutnya dibuang ke India. Pak Saidi juga menceritakan bagaimana British boleh masuk dan menjajah Tanah Melayu. Sejak itulah orang Melayu menentang penjajahan British bukan melalui senjata tetapi melalui politik.

Sinopsis Bab 5
Harapan Seorang Ibu

Adnan dan adik-adiknya berlatih silat pada waktu siang manakala pada waktu malam pula Adnan diajar mengaji oleh ayahnya dan ada kalanya dengan ibunya. Adanan menyatakan hasrat untuk mulai bersekolah supaya menjadi pandai kelak. Ibunya Milah tidak bersetuju kalau Adnan bersekolah di sekolah Inggeris tetapi berbeza dengan pandangan Pak Saidi. Pak Saidi berpendapat belajar di sekolah Inggeris dapat mempelajari pelbagai ilmu berbanding sekolah agama ataupun sekolah Melayu. Milah menyatakan kebimbangan tentang pandangan orang kampung tetapi Pak Saidi menyatakan bahawa penentangan zaman sekarang bukan lagi menggunakan senjata tetapi berdasarkan pengetahuan yang setanding dengan orang Inggeris. Pak Saidi menyatakan hasrat menyekolahkan anak-anaknya di sekolah Inggeris kepada ketiga-tiga orang anaknya dan mereka menerimanya dengan senang hati. Milah juga akhirnya akur dengan kehendak Pak Saidi.