NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 6 – Bab 10

NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 6 – Bab 10

Sinopsis Bab 6
Guru Besar Steward
Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris.  Walaupun ramai penduduk kampung yang tidak mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya akan menjadi murtad namun  Pak Saidi berfikiran sebaliknya. Dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum pergi ke sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal. Tengah hari dia menjemput anaknya dari sekolah. Syarat memakai baju baharu, seluar baharu dituruti oleh Pak Saidi. Walaupun sudah bersekolah di sekolah Inggeris, namun Pak Saidi tetapi mengajar anak-anaknya mengaji pada waktu malam agar anak-anaknya mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak lupa asal usul dan berharap anak-anaknya tidak menjadi sepertinya yang miskin. Pak Saidi menasihati anak-anaknya supaya tidak mempedulikan apa-apa yang dikatakan oleh orang lain.

Sinopsis Bab 7
Mereka Tidak Mengerti
Penduduk kampung menjadi gempar apabila mengetahui Pak Saidi menyekolahkan anaknya di sekolah Inggeris. Ternyata penduduk kampung tidak bersetuju dan membantah tindakan Pak Saidi. Abu mencadangkan kepada Tuk Ketua supaya meminta Pak Saidi tidak menghantar anaknya bersekolah di sekolah Inggeris dan menghalau mereka sekiranya mereka masih berdegil. Namun, Tuk Ketua menyatakan bahawa Pak Saidi dan anaknya orang baik sebaliknya anak  Abu yang tidak elok perangai dengan mencuri buah-buahan penduduk kampung. Abu berasa marah dengan kelakuan anaknya dan anaknya Nordin menganggap Pak Saidi yang memberitahu Tuk Ketua akan hal ini. Mereka bercadang hendak mengenakan Pak Saidi.

Sinopsis Bab 8
Seteguh Karang
Karim bertemu Pak Saidi di warung. Selepas menyampaikan wang Ah Chong hasil jualan getah, Karim menyatakan bahawa Abu telah menghasut Tuk Ketua supaya mengambil tindakan terhadap Pak Saidi kerana menghantar anak belajar di sekolah Inggeris. Pak Saidi tidak mengambil endah tindakan yang akan diambil oleh Abu kerana dia yakin dia tidak melanggar undang-undang. Karim juga ingin tahu apa sebabnya Pak Saidi menghantar anak bersekolah di sekolah Inggeris. Pak Saidi menyatakan bahawa kita harus belajar dari bangsa yang berjaya supaya anak-anak kita dapat ilmu pengetahuan yang tinggi.  Walaupun dia marah dengan British tetapi dia suka dengan ilmu yang mereka ada. Pak Saidi menyangkal anak-anak Karim yang perempuan semuanya tidak mampu untuk Berjaya sebaliknya di tangan merekalah nanti Negara akan lebih maju. Petang itu rumah Pak Saidi dikunjungi oleh Tuk Ketua kampung, Lebai Pian dan Pak Karim serta Isa. Pak Saidi menerangkan tujuan dia menyekolahkan Adnan di sekolah Inggeris. Guru  Melayu yang mengajar di sekolah itu juga akan membantu memantau anak-anak mereka. Setelah bertukar-tukar pandangan akhirnya mereka setuju dengan pendapat Pak Saidi walaupun tidak disenangi oleh Lebai Pian.

Sinopsis Bab 9
Anak-Anak Kampung
Mamat menegur Adnan dan bertanya tentang keseronokan belajar di sekolah Inggeris. Adnan menyatakan keseronokannya belajar di situ dan mengajar Mamat beberapa perkataan bahasa Inggeris yang dipelajari.  Mamat menyatakan ayahnya melarang dia belajar di sekolah Inggeris kerana khuatir dia lupa agama. Adnan menafikan bahawa dia lupa agama dan tidak berubah walaupun sudah belajar di sekolah Inggeris apatah lagi malamnya dia tetap belajar mengaji dengan ayahnya.  Mereka berbual-bual dengan Ahmad dan bercerita tentang cita-cita apabila besar nanti. Adnan yang mahu menjadi askar supaya dapat mempertahankan Negara dari serangan musuh. Malamnya, rumah mereka didatangi oleh dua lembaga yang tidak dikenali. Dengan keberanian Pak Saidi dan Adnan, lembaga itu lari lintang pukang, walaupun ada seorang yang mengena belutinya. Rupa-rupanya mereka mengerat tayar basikal milik Pak Saidi.  Pak Saidi mendengar tentang Nordin yang sakit kaki. Dia memberitahu isterinya mungkin Nordin salah seorang lembaga yang datang pada malam tempoh hari dan dibaling beluti oleh Adnan. Di sekolah Adnan mendapat pujian atas sikap hormat dan kerajinan serta pendirian yang tetap menjadi askar yang dinyatakan kepada Cikgu Anderson.

Sinopsis Bab 10
Masuk Jawi Basikal Baharu

Adnan akan berkhatan. Adnan resah apatah lagi Tuk Mudim sudah sampai. Walaupun Tuk Mudim berjenaka tetapi bagi Adnan itu bukanlah lawak. Rakan-rakan Adnan mengintai dari luar. Adnan menjadi bersemangat apabila ayahnya berjanji untuk membelikan basikal baharu apabila dia selesai berkhatan. Adnan bersemangat dan tidak gentar apabila dikhatankan. Dia tersenyum selepas dikhatankan. Kira-kira dua minggu kemudian, luka Adnan sembuh. Pada hari yang dijanjikan ayahnya membawa pulang sebuah basikal baharu.