NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 11 – Bab 15

NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 11 – Bab 15

Sinopsis Bab 11
Yakin Boleh
Pak Saidi menanya Adnan tentang persekolahannya. Adnan menyatakan bahawa dia seronok belajar di sekolah tersebut. Keesokan harinya Cikgu Nazri memulakan perhimpunan pagi dengan pengumuman tentang Pertandingan Syarahan dalam bahasa Inggeris. Hanya Adnan yang bersetuju untuk mengambil bahagian sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak berminat kerana syarahan tersebut dalam bahasa Inggeris.  Akhirnya Nizam, Ah Chong dan Ramasamy serta beberapa orang lain terangsang dengan semangat yang ditunjukkan oleh Adnan dan turut sama dalam pertandingan tersebut. Mak Milah bangga dengan semangat Adnan walaupun ditertawakan oleh rakan-rakannya. Pak Saidi dan Mak Milah memberikan semangat kepada Adnan dan bertambahlah berkobar-kobar Adnan kerana mereka berjanji akan hadir pada hari pertandingan tersebut.  Akhirnya Adnan menjadi juara,  Ah Chong mendapat tempat kedua manakala Nizam mendapat tempat ketiga.


Sinopsis Bab 12
Jaguh Kampung
Adnan dan rakan-rakan pasukan bola sepak Kampung Sungai Ramal berjaya mengalahkan pasukan bola sepak dari Kampung Merab. Kekalahan itu menyebabkan mereka tidak berpuas hati. Mereka mencadangan perlawanan tinju antara jaguh Kampung Sungai Ramal dan jaguh Kampung Sungai Merab. Cabaran itu disambut oleh Adnan yang dicadangkan oleh anak-anak muda kampungnya. Manakala Budin mewakili Kampung Sungai Merab. Perlawanan yang dirancang akhirnya berkesudahan dengan hampa apabila Budin dan Adnan berdamai kerana beranggapan pertandingan tersebut tidak sah kerana tidak dijalankan mengikut peraturan. Penyokong mereka tidak berpuas hati dan menyebarkan fitnah bahawa Budin dan Adnan bertinju dan mencuri rambutan Pak Samaun. Pak Saidi dan Pak Husin pulang ke rumah setelah mendengar berita tersebut. Setelah ditanya oleh Pak Saidi, Adnan menyatakan bahawa mereka tidak bertinju dan tidak mencuri rambutan kerana masih mendengar pesan ayahnya.

Sinopsis Bab 13
Darah Muda
Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih mengajar di sekolah Sungai Ramal. Tetapi Adnan  tidak minat bekerja sebagai guru. Dia bercita-cita menjadi seorang askar. Namun ketika itu belum ada peluang menjadi askar Melayu. Semenjak kecil Adnan gemar mendengar cerita kisah pahlawan-pahlawan Melayu. Dari situ timbulnya semangat untuk menjadi askar Melayu  bagi mempertahankan tanah air. Tambahan pula pada masa itu telah mula bertiup semangat kebangsaan di kalangan anak-anak muda terutama dalam kalangan guru-guru.

Sinopsis Bab 14
Askar Melayu Diraja
Tersebar berita mengenai ura-ura penubuhan askar Melayu. Inggeris akan mengambil anak-anak muda bagi dilatih menjadi askar. Maka semakin kuat keinginan Adnan hendak menjadi tentera.  Pada suatu hari, Kampung Sungai Ramal dikunjungi oleh beberapa anggota tentera British yang bertujuan  mencari anak-anak muda tempatan yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung termasuk Adnan Bin Saidi ingin memohon tetapi tidak dibenarkan  oleh ibunya. Ibunya lebih suka Adnan terus menjadi guru mendidik anak bangsa. Tetapi Adnan tetap berkeras ingin menjadi tentera. Ayahnya Pak Saidi, merestui cita-cita anaknya. Akhirnya ibu Adnan mengalah.

Sinopsis Bab 15
Buku Bertemu Ruas

Adnan bersama beberapa orang rakannya, nekad keluar dari kampung untuk pergi ke kem latihan ketenteraan di Port Dickson. Mereka pergi Cuma berjalan kaki dan menumpang lori barang dari Kajang ke Seremban. Dan dari Seremban ke Port Dickson. Mereka telah diterima menjadi tentera selepas dimaklumkan oleh dua orang anggota tentera yang datang ke rumahnya.