Sinopsis Bab 1 dan Bab 2 (Novel Tingkatan 4)

Novel Pantai Kasih : Sinopsis Bab 1 dan Bab 2 (Novel Tingkatan 4)
  
BAB 1

Raiha, seorang doktor pakar yang baharu menyertai Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) menghadapi masa sukar apabila sentiasa terkenang peristiwa silam yang mengiringi perjalanan hidupnya. Raiha amat terkesan dengan tugasan yang diberikan oleh Doktor Uwang untuk membuat pembedahan kali keenam ke atas pesakit yang bernama Unong Siron. Raiha berasa curiga mengapa pembedahan yang sama dilakukan sebanyak lima kali ke atas pesakit pada tempat pembedahan yang sama. Walaupun selesai menjalankan tugasan dengan jayanya, namun Raiha berpendapat bahawa pembedahan tersebut tidak harus berulang kali terutama kepada pesakit daripada kalangan golongan menengah dan ke bawah. Prinsip hidup Raiha iaitu memuaskan semua pihak, sebaik mungkin dan seboleh mungkin telah mencurigakan kredibiliti doktor idolanya itu. Raiha juga dibayangi dengan kenangan silam iaitu rasa pendam cintanya terhadap Doktor Uwang tetapi telah terpadam selepas dia memilih Doktor Sadiz sebagai suami. Namun, kenangan itu sukar dilupakan terutama sewaktu dia memberikan bantuan kepada Doktor Uwang dalam pembentangan seminar. Raiha juga teringat akan ayahnya yang membentak apabila Raiha menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan Doktor Sadiz. Ayahnya yang Berjaya membesarkan dua orang adik lelaki tirinya menjadi golongan profesional berpendapat bahawa pemilihan Doktor Sadiz sebagai suaminya adalah kurang tepat dan akan menyebabkan kesengsaraan pada masa depan. Ingatan terhadap larangan ayahnya supaya bidang pakar pembedahan tidak menjadi pilihan kerana berpendapat bidang tersebut tidak sesuai dan tidak berfaedah kepadanya dalam jangka masa panjang.

Sister Felicia Landosi, jururawat kanan yang banyak pengalaman begitu tidak menyenangi Raiha apabila dia telah ditegur akibat melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan di PRPK. Sister Felicia ditawarkan dengan  gaji yang lumayan supaya bertugas di PRPK setelah bertugas di hospital kerajaan sebelum ini. Felicia berpendapat teguran Raiha dan amaran Doktor Uwang terhadap aku janjinya sebelum ini menyesakkan dadanya dan tidak adil terhadap dirinya seterusnya membakar semangatnya hingga rentung. Dia berhasrat untuk melupakan peristiwa hitam pada malam yang menggemparkan itu. Doktor Alex pula mengesyaki bahawa beliau bergaduh dengan Doktor Razak. Ingatannya juga kembali kepada kenangan lalu sewaktu anak Raiha disambar api di hadapan matanya. Ingatan itu sukar dilupakan dan menghantuinya selama ini. Dia juga sentiasa dibayangi keresahan khuatir tingkah lakunya diperhatikan terutama di ruang farmasi. Dalam keadaan rakan sejawat yang sedang leka melaksanakan tugas Felicia dibayangi dengan prasangka. Sehingga jururawat Ariana yang sedang bercakap di gagang telefon dengan Doktor Razak turut diteguri kerana asyik bergayut di telefon sahaja. Atas permintaannya sendiri dia tidak bertugas pada sebelah pagi sebaliknya pada sebelah malam dan tugas rutin harian tidak perlu dilaksanakannya memberi peluang kepadanya untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan Raiha.

BAB 2

Doktor Uwang berpendirian tegas terhadap prinsip hidup, amat tidak bersetuju sekiranya ada orang gaji di rumahnya. Malahan anak tunggal hasil keterlanjurannya dahulu pun dihantar belajar di sekolah swasta berasrama  seawal usia tujuh tahun lagi sehingga anaknya itu kekok untuk bersama-samanya apabila ada peluang pulang bercuti semesternya. Doktor Uwang berpendapat anaknya itu tidak harus pulang  langsung kerana memalukannya sahaja. Ketegasan Doktor Uwang terhadap bisnes kesihatan menjadikannya sebagai salah seorang doktor berwibawa yang banyak membawa keuntungan kepada PRPK. Ayah mentuanya yang menyerahkan PRPK kepadanya turut berpendapat bahawa untuk kaya tidak harus ada halangan asalnya berusaha. Walaupun agak kesal menyerahkan PRPK kepada Doktor Uwang, namun akur dengan kehebatan menantunya menerajui PRPK.
Doktor Uwang menganggap ayah mentuanya sama seperti Raiha yang ada kalanya seperti memperkecil-kecilkannya kewibawaannya tetapi dia berpendapat bahawa untuk mendapat kesihatan yang baik mestilah menggunakan kecanggihan alat perubatan. Doktor Uwang juga sering mengeluh kesakitan pada pergelangan tangannya dan kepala lututnya namun belum sempat membuat diagnosis tepat terhadap penyakitnya itu. Oleh sebab dia kurang sihat untuk melakukan pembedahan terhadap Unong Siron pada kali ini, tugas itu diserahkan kepada Raiha.
Namun sikap Raiha yang menjengkelkannya. Raiha mempersoalkan kejadian infeksi yang berlaku kepada Unong Siron. Peribadi Raiha yang dikenali sewaktu menjadi siswi dengan yang ada sekarang amat berbeza. Dahulu Raiha menaruh hati terhadapnya tetapi sekarang sudah lenyap dan menganggap Raiha sudah angkuh dan beranggapan Raiha tidak bersyukur dengan tawaran berkhidmat di PRPK miliknya. Doktor Uwang juga teringat kembali terhadap kanak-kanak perempuan yang sudah meninggal dunia dan sentiasa membayang hidupnya. Lamunannya tersentak apabila ingatannya juga turut dibayangi oleh peristiwa pencerobohan doktor palsu yang menyamar di PRPK miliknya.

.