NOVEL PANTAI KASIH : Teknik Penceritaan

NOVEL PANTAI KASIH : Teknik Penceritaan

TEKNIK PENCERITAAN

1.         Pemerian

Pemerian tentang latar belakang Sister Felicia

Latar belakang Sister Felicia dideskripsi menggunakan kaedah pemerian. Penulis menceritakan bahawa Felicia lahir akibat keterlanjuran ibunya yang hidup bebas sewaktu muda. Felicia dibesarkan dengan penuh disiplin oleh ibunya sehingga menimbulkan sifat memberontak dalam diri. Kematian ibunya membuatkan Felicia terkapai-kapai sebelum belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan.

Pemerian tentang kegelishan hidup Raiha selepas kematian anak perempuannya.

Setiap kali penulis menceritakan kematian anak perempuan Raiha, penulis menggunakan teknik pemerian. Penulis menceritakan saat anaknya tiba-tiba disambar oleh kemarakan api yang sedang memamah kereta Porsche milik bapanya. Kehadiran anaknya itu tanpa diduga menyebabkan anaknya rentung. Kematian akibat rentung 100 peratus disebabkan oleh disambar api yang dihidupkan apabila Doktor Sadiz berasa marah terhadap Raiha dengan menyimbah minyak petrol ke arah kereta mewah tersebut.
                                   
Pemerian tentang kemalangan Doktor Uwang

Penulis juga mendeskripsi kemalangan yang menimpa Doktor Uwang menggunakan teknik pemerian. Penulis menceritakan bagaimana sebelum kemalangan, Doktor Uwang wajah anak perempuan pak ciknya itu datang menerpa dalam ingatannya. Secara tiba-tiba pergelangan tangannya terasa ngilu dan tempurung lututnya berasa kebas menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaan yang sedang dipandunya itu hingga menyebabkan dia melanggar tembok Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Pemerian tentang kematian Rohayu

Penulis memerihalkan kematian Rohayu sebagai akibat kecuaian Doktor Sadiz. Penulis menceritakan pada ketika itu Doktor Uwang dan Felicia menjadi saksi. Doktor Sadiz yang begitu marah terhadap sikap Raiha yang membawa lari anak perempuan dan kereta mewah Porsche kesayangannya itu, membuatkan Doktor Sadiz hilang pertimbangan. Dengan bantuan Felicia yang membelikan minyak petrol dan Doktor Uwang yang menghantar Doktor Sadiz hingga ke rumah tumpangan, Doktor Sadiz menyimbah kereta mewah itu dengan minyak petrol yang dibawa. Tiba-tiba muncul anak perempuannya di tempat kejadian dan apa yang sedang marak itu menyambar anak kecil tersebut hingga rentung.

2.         Dialog

Dialog Raiha dan Doktor Sadiz

Penulis menggunakan teknik dialog dalam novel ini. Perbualan di antara Raiha dan Doktor Sadiz ketika membahaskan pengguguran anak dalam kandungan Raiha. Doktor Sadiz tidak mahu Raiha mengandung anak yang cacat sedangkan Raiha menyatakan bahawa anak tersebut mempunyai roh dan berhak untuk hidup.

Dialog Raiha dan ayahnya

Dialog antara Raiha dan ayahnya tentang kerjaya pakar bedah ada dalam novel ini. Ayah Raiha tidak bersetuju Raiha menjadi pakar bedah kerana baginya kerjaya tersebut lebih sesuai disandang oleh orang lelaki yang lebih berdaya juang dari segi fizikal dan mental. Raiha turut mempersoalkan keputusan ayahnya itu sedangkan ayahnya juga adalah seorang pakar bedah tetapi tidak memberikan sokongan kepadanya.

Dialog Raiha dan Sister Felicia

Raiha juga berdialog dengan Sister Felicia ketika Raiha memanggilnya ke pejabat bagi memberikan penjelasan tentang sika kasar Felicia terhadap ibu Unong Siron. Felicia menjelaskan bahawa ‘sapi tua’ panggilan terhadap Ibu Unong telah menuduhnya tidak jujur kerana mencadangkan pembedahan terhadap anaknya di Pusat Rawatan Pantai Kasih. Walaupun dia mendapat lima peratus daripada jumlah kos yang dibayar tetapi Raiha berpendapat dia tidak harus bersikap kasar terhadap keluarga pesakit.

Dialog Ibu Unong dengan Penceroboh Pusat Rawatan Pantai Kasih

Ibu Unong meminta kebenaran Raiha untuk berkomunikasi dengan penceroboh Pusat Rawatan Pantai Kasih. Oleh sebab dia kenal benar dengan penceroboh yang merupakan bekas pelajar perubatan dan kebetulan tinggal di kampung sebelah tempat tinggalnya sekarang ini. Ibu Unong dalam dialognya meminta pemuda itu membantu anaknya yang tenat kerana dia berpendapat hanya pemuda itu sahaja yang dapat membantu merawat anaknya yang tenat itu.

3.         Imbas kembali

Imbas kembali kematian anak perempuan Raiha

Raiha sering mengingati anak perempuannya, Rohayu. Kematian Rohayu sering diimbas kembali oleh Raiha kerana dia masih belum mendapat jawapan pasti punca kematian anak istimewanya itu. Sewaktu di rumah mahupun di mana-mana sahaja imbasan anak perempuannya itu sering menghantui fikirannya.

Doktor Uwang juga sering mengimbas kembali saat kematian anak perempuan Doktor Sadiz di hadapan matanya. Dia juga terbayang-bayang wajah anak perempuan itu meminta ihsan daripadanya. Dia juga mengimbas kembali sewaktu melakukan outopsi ke atas anak perempuan itu.

Imbas kembali zaman sekolah rendah

Raiha teringat saat persekolahannya di sekolah rendah bersama-sama Felicia. Mereka memang bersekolah bersama-sama dan melihat Felicia selalu diherdik dan diejek status kelahirannya. Felicia adalah anak ragu status apabila ibunya terlanjur akibat  gaya hidup bebas yang diamalkan.

4.         Saspens

Saspens punca kematian anak perempuan Raiha

Pembaca berasa saspens kerana tidak mendapat gambaran jelas tentang punca kematian anak perempuan Raiha. Pembaca berasa lega dan begitu juga dengan Raiha apabila Felicia telah mengaku dan menceritakan situasi sebenar kematian anak Raiha itu. Felicia meminta maaf kerana tidak muncul sewaktu perbicaraan antara Doktor Sadiz dan Raiha kerana takut. Baharulah pembaca mengetahui kedudukan sebenar punca kematian anak Raiha.

Saspens nasib Felicia yang ditahan oleh penceroboh Pusat Rawatan Pantai Kasih


Pembaca berasa saspens apabila Felicia ditanah oleh penceroboh yang menyamar sebagai doktor buat kali kedua. Pembaca saspens tentang nasib Felicia memandangkan ketika itu dia juga berada dalam keadaan khayal akibat minum ubat batuk berlebihan. Pembaca berasa lega apabila Raiha berjaya memperdaya pemuda itu dengan mengatakan bahawa Unong Siron memerlukan bantuan pemuda itu di hospital yang lain.